10 perangai penumpang yang buat cabin crew menyampah
Kakitangan syarikat penerbangan yang bertugas dalam pesawat akan sentiasa senyum dan melayan anda dengan ramah. Tapi adakah kita tahu apa yang terbuku di hati mereka?Berikut adalah 10 perkara yang sering buat mereka menyampah. Senarai ini berdasarkan temu bual KEMBARA.MY dengan beberapa orang pramugari yang bertugas dengan syarikat penerbangan berpengkalan di luar negara.
1. Gemar merakam gambar kami secara curi-curi, terutama wajah, badan, atau bahagian badan tertentu. Tentulah kami tidak selesa terutama ketika membongkok untuk mencapai objek tertentu semasa bertugas. Janganlah jadi pervert.
2. Suka minta perkara yang tidak dibekalkan. Tiada syarikat penerbangan yang sediakan hidangan telur kuda Mustang masak asam dalam penerbangan. Perlu diingat, kuda adalah mamalia yang melahirkan anak.
3. Kaki gym perasan sado yang tidak segan silu minta pramugari muatkan beg bersaiz sado ke ruang bagasi di atas kepala.
4. Penumpang yang suka bersidai di ruang galley. Ruang yang sempit ini dikhaskan untuk penyediaan makanan dan tidak boleh dimasuki oleh penumpang dengan sewenang-wenang.
5. Minta cabin crew naiktaraf tempat duduk mereka ke kelas lebih tinggi. Ada yang sanggup tunjukkan duit dan mengucapkan “I can pay” dengan yakin.
6. Penumpang yang memang degil dan tidak mahu tegakkan tempat duduk semasa berlepas dan mendarat, dan yang tidak suka pakai tali pinggang keledar.
7. Asyik minta dihidangkan minuman dan makanan walaupun isyarat memasang tali pinggang keledar sudah dinyalakan.
8. Kanak-kanak yang berlari dan bermain di lorong di antara tempat duduk. Petugas kabin perlu menggunakan lorong ini untuk membawa service cart.
9. Suka duduk di tempat duduk orang lain. Kemudian, bertengkar.
10. Penumpang yang suka mendesak. Ada yang mengancam untuk tidak lagi menggunakan khidmat syarikat penerbangan kami pada masa hadapan. Kami cuma akan senyum dan minta maaf.